MERINTIS KERJASAMA PINTAR MCM, FGV DAN MUIS

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
15 July, 2023
Sesuatu yang besar bakal berlangsung di Sabah pada hujung September ini, hasil kerjasama pintar Muslim Care Malaysia (MCM), FGV Holdings Berhad (FGV) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Insya-Allah.
Malah, projek yang bakal tercatat antara terbesar dalam kelendar aktiviti MCM itu juga turut membabitkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Laluan ke arah kerjasama itu dirintis dalam mesyuarat pertama membabitkan MCM, FGV dan MUIS di Wisma MUIS, Kota Kinabalu pada 11 Julai 2023.
Rombongan dari MCM diketuai Presiden Tuan Haji Zulkifli Wahijan dan Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar manakala FGV diwakili Ustaz Ilyas Helmi Mohd Yusof yang juga Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan.
Pihak tuan rumah MUIS pula dipimpin Yang Dipertua, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin dan turut disertai Penolong Setiausaha Kanan Pungutan, Ustaz Wan Mohd Zakri Wan Yaacob.
Haji Zulkifli berkata, hasil mesyuarat ketiga-tiga pihak bersetuju untuk berkerjasama melaksanakan projek 3 dalam 1 di Nabawan membabitkan peruntukan lebih RM600,000 yang ditaja oleh FGV.
"Ia dianggap 3 dalam 1 kerana ada tiga program utama iaitu pembinaan masjid berharga RM190,000 di Kampung Pulutan, pemberian pek makanan dan wang tunai kepada 650 keluarga dari beberapa kampung serta karnival mini untuk penduduk tempatan.
"Antara pengisian karnival mini termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah agama dan jamuan," katanya.
MCM mengucapkan jutaan terima kasih kepada FGV, MUIS dan semua pihak yang memberikan komitmen tinggi untuk menjayakan projek ini demi kesejahteraan ummah dan perkembangan syiar Islam.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan
Tepat pada sasaran.
Tepat pada waktunya.
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia