MEREWANG BERSAMA ORANG ASAL KAMPUNG SUSU

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
14 December, 2023

Kesempatan membawa sekumpulan kanak-kanak Orang Asal dari Kampung Susu, Cameron Highland meronda sekitar kampung mereka dengan kenderaan MPV menghadirkan pengalaman amat menarik

Gelagat kanak-kanak itu yang teruja sambil tak henti bertanya itu ini, memberi satu kepuasan kepada kami dan jelas menggambarkan sikap mereka yang terbuka serta mudah mesra dengan orang luar.

Lapan kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun itu menawarkan diri menjadi ‘pemandu pelancong’ untuk membawa kami melawat Empangan Susu, Jeram Air Sejuk dan Kampung Abu yang terletak bersebelahan.

Sebelum itu, seramai 15 sukarelawan atau ‘Heroes’ Muslim Care Malaysia (MCM) berkunjung ke Kampung Susu pada 9 Disember lalu untuk menyertai aktiviti “rewang” atau kenduri rakyat sempena program Sinaran Iqra’ 7.0 oleh ahli kelab COMRADE Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Turut serta ialah Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail dan Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar.

Kampung Susu ialah satu kawasan penempatan semula penduduk Orang Asal yang menempatkan 45 buah rumah dan dihuni 350 penduduk beragama Islam.

Antara aktiviti dilakukan 48 penuntut dari UIAM sepanjang dua hari berkampung di situ ialah ziarah dakwah dari rumah ke rumah, sukaneka, riadah dan kenduri rakyat.

Kampung Susu ialah satu daripada kampung angkat Orang Asal kepada kelab COMRADE UIAM dan ini tahun ketujuh mereka melakukan aktiviti dakwah dan kebajikan di kampung itu.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia