MEREKA BELAH PERUT DAN TEMBAK JANIN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
11 January, 2023
Biarpun sudah 40 tahun berlalu, kengerian dan bau hanyir darah seakan masih dirasakan Puan Roula, mangsa yang terselamat daripada tragedi pembunuhan beramai-ramai yang meragut ribuan nyawa di kem pelarian Palestin Sabra dan Shatila di Beirut, Lubnan pada September 1982.
Beberapa kali menahan sebak, ibu tunggal berusia 60 tahun itu tetap menguatkan semangat berkongsi pengalamannya dengan relawan atau "heroes" Muslim Care Malaysia (MCM) dalam misi Bantuan Musim Sejuk kepada pelarian Syria dan Palestin di Jordan dan Lubnan.
Katanya, dia ibarat mati hidup balik kerana cedera parah di perut akibat ditembak, namun bernasib baik kerana ada orang telah membawanya ke hospital.

"Tapi ketika bertarung nyawa sebelum dibawa ke hospital, saya lihat sendiri kekejaman tentera militan dan Israel.
"Mereka belah perut wanita hamil, keluarkan janin dan tembak janin itu," katanya dengan suara sedikit menggeletar.

Tiada siapa yang tahu jumlah sebenar korban tragedi itu, namun dianggarkan antara 500 hingga 3,500 pelarian Palestin dibunuh dengan kejam oleh tentera Zionis Israel.
Seorang lagi mangsa terselamat, Puan Sheikha Noura berkata sejurus mendengar jeritan supaya lari menyelamatkan diri, dia keluar rumah namun terkejut apabila melihat mayat bergelimpangan sepanjang jalan.
"Bau hanyir darah menusuk hidung dan saya terpaksa berjalan dengan memijak puluhan atau mungkin ratusan mayat," katanya yang kini menderita penyakit kanser, kesan daripada kecederaan dialaminya dulu.
Puan Roula dan Sheikha Noura ialah antara 150 penghuni kem pelarian Sabra dan Shatila yang menerima kotak makanan sumbangan MCM, berharga RM350 setiap satu.
Presiden MCM Haji Zulkifli Wahijan berkata perkongsian pengalaman dua wanita itu amat bermakna kepada pihaknya.
"Sebelum ini kita hanya dapat maklumat daripada pembacaan atau melalui televisyen, tapi ini kali pertama kita berjumpa dan bercakap sendiri dengan mangsa yang terselamat," katanya.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia Society.
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan,
Tepat pada sasaran.
Tepat pada waktunya.
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia