MENYAMBUNG KEBAJIKAN DI PULAU PINGAI (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
25 October, 2024

Ketika kami tiba, beberapa AJK Masjid Ubudiyah, Pulau Pingai, di Ranong, selatan Thailand sedang leka mengira wang kertas dan syiling dari tabung untuk digunakan bagi menampung kos menaik taraf masjid berusia hampir 30 tahun itu.

Pemandangan itu sedikit mengharukan kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada sumbangan daripada penduduk kampung untuk untuk mendapatkan dana.

“Tiada sumbangan daripada mana-mana pihak, kami hanya bergantung kepada derma daripada penduduk kampung untuk menyiapkan masjid ini,” kata bilal masjid, Shukri Ahmad.

Beliau berkata, kerja membesarkan masjid itu bermula lebih sebulan lalu dan pihaknya memerlukan kira-kira 200,000 Baht atau RM25,000.

Pulau Pingai dikunjungi peserta misi kebajikan dan dakwah ke perkampungan Melayu selatan Myanmar pada 19 Oktober 2024 selepas diarahkan pihak berkuasa Myanmar keluar dari negara itu lebih awal berbanding yang dijadualkan.

Ketua misi, Haji Mohd Johari Ismail yang juga Timbalan Presiden MCM berkata, terdapat 400 rumah di Pulau Pingai dengan jumlah penduduk kira-kira 2,000 orang yang sebahagian besar mencari rezeki dengan menjadi nelayan.

“Apa yang menariknya, komuniti di sini sama seperti saudara kita di Bokpyin, Myanmar. Mereka bercakap bahasa Melayu loghat Kedah, banyak menggunakan tulisan Jawi dan teguh mempertahankan pendidikan Islam,” katanya.

Haji Mohd Johari turut menyumbangkan wang tunai, kain pelikat dan kain batik kepada AJK Masjid Ubudiyah sebagai tanda silaturahim daripada MCM.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia