MENTERI KERJA 15 JAM SEHARI

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2025

Bekerja antara 12 hingga 15 jam sehari adalah kebiasaan dalam kalangan barisan pemimpin kerajaan sementara Syria pada hari ini.

Menteri Dalam Negeri Syria, Ali Kidah, berkata mereka perlu berbuat demikian kerana menyedari tiada jalan mudah, sebaliknya hanya kerja keras pemimpin dan rakyat mampu membangunkan semula Syria.

"Kami perlu bekerja keras. Tumpuan sekarang ialah mengekalkan keamanan dan memupuk kepercayaan rakyat kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan 28 peserta misi bantuan kemanusiaan Malaysia Aid2Syria di pejabatnya di Damsyik pada 27 Januari 2025.

Mengetuai delegasi Malaysia Aid2Syria ialah Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Haji Zulkifli Wahijan dan Pengerusi MCM Syria, Muhammad Khatib.

Menurutnya, ketakwaan kepada Allah senjata utama pasukan pejuang pembebasan diketuai Hay'at Tahrir al-Sham dapat menjatuhkan kerajaan Bashar al-Assad selepas peperangan hampir 14 tahun.

"Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak membantu kami melalui usaha pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Dan saya gbira dan terharu dengan kedatangan semua ke sini, semata-mata ingin menolong kami," kata Ali Kidah.

Misi ‘Malaysia Aid 2 Syria’ yang membabitkan kerjasama 14 organisasi diketuai MCM mengambil masa 12 hari, berakhir 31 Januari 2025.

Pengisian misi ialah agihan sumbangan pek makanan, pakaian musim sejuk dan pemeriksaan kesihatan di Damsyik, Aleppo, Hama dan Homs membabitkan 5,000 penerima bantuan.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia