MENJEJAK KEM BERDARAH SABRA & SHATILA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
21 February, 2026

​Muslim Care Malaysia (MCM) sekali lagi berpeluang menziarahi dan menyantuni masyarakat pelarian di Kem Pelarian Sabra dan Shatila sempena bulan Ramadan 1447H.

​Penempatan padat di ibu kota Lubnan ini dihuni oleh majoriti pelarian Palestin serta sebahagian pelarian Syria yang masih hidup dalam keadaan serba kekurangan.

​Kem Sabra dan Shatila merupakan lokasi bersejarah yang terkenal dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai pada 16 hingga 18 September 1982, semasa berlakunya Perang Saudara Lebanon. Dalam kejadian tersebut, militan Phalangist telah memasuki kawasan kem yang ketika itu berada di bawah kepungan tentera Israel.

​Sepanjang tempoh kira-kira tiga hari serangan tersebut, ratusan hingga ribuan penduduk awam Palestin termasuk wanita, kanak-kanak, dan warga emas telah terbunuh. Pasca tragedi menyaksikan mayat-mayat ditemui bergelimpangan di lorong-lorong sempit kem, manakala sebahagian besar mangsa ditanam dalam kubur besar.

​Kejadian itu telah mencetuskan kecaman antarabangsa yang meluas dan kekal sehingga kini sebagai antara pembunuhan beramai-ramai paling menggemparkan dalam sejarah dunia moden.

​Sehingga ke hari ini, Sabra dan Shatila terus menjadi simbol penderitaan yang panjang bagi pelarian Palestin dengan generasi penduduknya yang masih terhimpit dalam kedaifan.

​Menerusi misi ini, Muslim Care Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sumbangan yang diberikan secara berterusan. Pihak MCM turut mendoakan agar keberkatan Ramadan kali ini membawa kebaikan buat semua pihak yang terlibat dalam usaha murni ini.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia