MENJEJAK KEKEJAMAN AL-ASSAD DI PENJARA SEDNAYA (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2025

Penjara Sednaya adalah salah satu lambang atau 'ikon' kekejaman bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad dan ayahnya, Hafiz al-Assad yang memerintah negara itu selama lebih 50 tahun.

Sebaik saja Bashar dijatuhkan pada 8 Disember 2024, pasukan pembebasan diketuai Hay'at Tahrir al-Sham (HTS) pantas mengambil alih Sednaya dan membebaskan lebih 3,000 tahanan di dalamnya.

Dalam kalangan rakyat Syria, mereka cukup tahu jika dihumban ke Sednaya, bererti mereka menuju kematian.

Apa yang menyakitkan, kematian itu dipastikan tidak berlaku dengan mudah, sebaliknya ia hanya akan hadir selepas proses penyeksaan yang panjang.

Hanya dua keadaan untuk tahanan Sednaya bebas, sama ada dalam keadaan gila atau sudah tidak bernyawa.

Dua puluh lapan peserta misi bantuan kemanusiaan Malaysia Aid2Syria melakar pengalaman berharga apabila diberi keizinan meninjau keadaan Sednaya yang sekarang sudah dikosongkan.

Semestinya kira-kira dua jam di sana belum cukup untuk meneroka keseluruhan Sednaya yang memiliki banyak bilik bawah tanah dan ruang rahsia.

Apapun, ia memadai untuk peserta mengisafi azab dan penderitaan tahanan Sednaya yang ada di antara mereka terkurung tanpa bicara sehingga lebih 40 tahun.

Dalam kedinginan dengqn suhu di bawah 10 darjah Celcius, mereka tidak diberi pakaian, dihidang makanan basi dan didera tanpa henti dengan cara yang kejam.

Terdapat mesin untuk menghancurkan mayat kerana tahanan yang mati tidak ditanam, sebaliknya cebisan jasad mereka dibuang ke lokasi tidak diketahui.

Misi ‘Malaysia Aid 2 Syria’ yang membabitkan kerjasama 14 organisasi diketuai Muslim Care Malaysia (MCM) mengambil masa 12 hari bermula 20 Januari 2025.

Pengisian misi ialah agihan sumbangan pek makanan, bantuan pakaian musim sejuk dan pemeriksaan kesihatan di Damsyik, Aleppo, Hama dan Homs.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia