MENELUSURI JEJAK PERJUANGAN ULAMA SYRIA DI MAAHAD AL FURQAN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
21 February, 2026

Ziarah Muslim Care Malaysia ke Maahad Al Furqan baru-baru ini telah menyingkap tabir perjuangan yang amat menyentuh hati. Di sana, kami menyantuni Syeikh Ziyad yang merupakan guru kepada Ustaz Nazmi Karim di mana beliau telah menabur bakti di maahad tersebut selama 50 tahun sehingga tahun 2000 dan kekal berkhidmat dalam barisan pengurusan sehingga ke hari ini. Di sebalik ketenangan wajah beliau, tersimpan parut perjuangan yang sangat dalam terutamanya pada tahun 1982. Beliau pernah ditangkap dan dipenjarakan sebanyak tiga kali pada tahun tersebut. Kali pertama, beliau ditahan selama 11 hari di penjara bawah tanah yang tidak diketahui lokasinya hanya kerana menjaga kebajikan pelajar yang sakit. Penangkapan kedua pula berlaku akibat beliau menunaikan sembahyang Zuhur berjemaah yang membawa kepada penyeksaan fizikal sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang beliau. Manakala penangkapan ketiga selama seminggu adalah kerana keberanian beliau menyediakan ruang penginapan buat para penuntut ilmu di Maahad Al Furqan. Rentetan daripada itu, beliau diwajibkan melaporkan diri di pejabat polis pada setiap hari Isnin sehinggalah kejatuhan rejim Basyar Al-Assad.

Keteguhan iman para pendidik di sini benar-benar diuji apabila pihak berkuasa rejim bertindak membekukan sumber akaun kewangan Maahad Al Furqan atas tuduhan memberikan bantuan kepada mangsa pelarian. Akibatnya, guru-guru di sini pernah mengajar selama lima tahun tanpa sebarang bayaran gaji, namun mereka tetap istiqamah meneruskan sesi pengajian demi kelangsungan ilmu. Kisah duka ini turut dikongsi oleh Syeikh Adnan yang mempunyai pengalaman pahit dipenjarakan pada malam 27 Ramadan tahun 2011. Kejadian tersebut berlaku di Masjid Syeikh Usamah Rifaie sewaktu ibadah Qiamullail, di mana beliau telah dibelasah oleh tentera rejim ketika cuba mengawal keselamatan Syeikh Usahama Rifaie yang turut menjadi mangsa kekejaman. Di dalam penjara, beliau menyaksikan sendiri penderitaan banduan-banduan yang diseksa sehingga mati, malah mayat mereka dibiarkan membusuk di dalam sel selama 20 jam sebelum dialihkan. Pengalaman ngeri ini menjadi saksi betapa mahalnya harga sebuah kebenaran di bumi tersebut.

Kini, Maahad Al Furqan terus berkembang dengan kekuatan 1,700 pelajar yang ditempatkan di tiga cawangan lelaki serta tiga cawangan perempuan, malah kini dalam perancangan membuka cawangan baharu khusus buat pelajar luar negara. Syeikh Adnan meluahkan bahawa sejak bermulanya peperangan pada tahun 2013 sehingga 2024, mereka seakan merasakan hilangnya keberkatan berilmu apabila pintu buat pelajar luar negara tertutup rapat. Namun, suasana kini berubah dengan kehadiran kerajaan baru yang membawa sinar kegembiraan buat pihak maahad. Mereka amat berbesar hati dan menyatakan bahawa menerima kehadiran pelajar dari Malaysia adalah satu perkara yang sangat mulia bagi mereka, sekali gus menghidupkan kembali roh keilmuan antarabangsa di Maahad Al Furqan.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia