MENDERMA MELALUI PEMBELIAN PRODUK BIOFITRAH

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 August, 2025

Hanya dengan membeli cecair pencuci pakaian, anda dapat menyumbang kepada Muslim Care Malaysia (MCM) untuk kerja kebajikan dan dakwah.

Itu kolaborasi terbaru MCM dengan Biofitrah (M) Sdn Bhd menerusi satu memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani di kilang syarikat itu di Nilai, Negeri Sembilan pada 2 Ogos 2025.

Biofitrah adalah syarikat Bumiputera ditubuhkan enam tahun lalu yang mengeluarkan produk cecair pencuci pakaian berjenama PowerRein dan pelembut pakaian berjenama SoftRein.

Kini, untuk setiap pembelian dua produk keluaran Biofitrah itu, sebahagian keuntungannya akan disalurkan kepada MCM dan Adina Charity Circle (Adina).

Menyempurnakan MOU itu, Presiden MCM Haji Zulkifli Wahijan menurunkan tandatangannya bagi pihak MCM manakala Biofitrah diwakili Ketua Pegawai Operasi, Aman Rasyidi.

“MCM mengucapkan terima kasih kepada Biofitrah kerana keprihatinan terhadap kerja kebajikan dan memilih MCM sebagai rakan kerjasama,” kata Haji Zulkifli.

Aman Rasyidi pula berkata, Biofitrah memang mengutamakan CSR melalui program dinamakan Kongsi Rezeki.

“Melalui kerjasama dengan MCM kami harap dapat meluaskan lagi penerima manfaat sumbangan kebajikan kami sehingga ke luar negara,” katanya.

Turut sama menandatangani MOU dengan Biofitrah ialah Pengerusi Adina, Nurdieana Mohd Mardzi. Adina mengkhusus dalam kerja kebajikan membabitkan kanak-kanak terutama pesakit kanser.

Terdahulu, berlangsung acara perasmian kilang Biofitrah yang disempurnakan mantan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga penasihat MCM.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia