MCM WAKAF 300 KERUSI RODA KEPADA HOSPITAL DAN PKD

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
18 September, 2023

Usaha murni untuk meringankan beban fasiliti kesihatan direalisasikan apabila Muslim Care Malaysia (MCM) menyumbangkan 300 kerusi roda kepada 10 buah hospital dan pusat kesihatan daerah (PKD) di Lembah Klang.

Kerusi roda berkenaan diserahkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad AI-Bakri sambil disaksikan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan di Masjid Hospital Sungai Buloh, pada 14 September 2023.

Zulkifli berkata, bantuan ini adalah terbesar yang pernah dibelanjakan dengan nilai sebanyak RM100,000 selepas sumbangan 40 unit kepada Hospital Tuanku Fauziah dan PKD di Perlis pada 21 Mei lalu.

Hospital yang setiap satu menerima 50 unit kerusi roda adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur.

PKD yang setiap satu menerima 10 kerusi roda ialah PKD Gombak, Klang, Petaling, Titiwangsa dan Kepong.

Sementara itu, Dr. Zulkifli berkata, program sebegini menambahkan keyakinan orang ramai terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan projek wakaf.

“Kerusi roda ini akan memanfaatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan bahasa," katanya.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia