MCM URUS KHEMAH PELARIAN SUMOUD DI GAZA (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
23 June, 2024

Muslim Care Malaysia (MCM) maju setapak lagi dalam usaha berterusan membantu rakyat Palestin di Gaza dengan menguruskan khemah untuk kira-kira 100 keluarga membabitkan kira-kira 800 ke 1,000 di kem pelarian Sumoud, dekat Khan Younis.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata antara sumbangan MCM di kem itu ialah memasang sistem elektrik solar dan membekalkan makanan kepada penghuni kem setiap hari.

“Alhamdulillah sejumlah RM350,000 hasil sumbangan  rakyat Malaysia telah MCM belanjakan untuk pelbagai keperluan hampir 1,000 penghuni di kem Sumoud

“Dengan peruntukan terbaru itu, sejak perang bermula 7 Oktober tahun lalu sehingga kini MCM sudah menyalurkan kira-kira RM5 juta kepada penduduk Gaza melalui wakil kami di sana iaitu Ahmad Abu Ayesh yang juga Pengerusi MCM Palestin,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Zulkifli berkata, kem Sumoud adalah satu daripada tiga kem besar yang menempatkan ribuan khemah penduduk Gaza yang kini menjadi pelarian di dalam negara sendiri 

Menurutnya, kem itu dibuka lebih sebulan lalu iaitu sebaik saja wilayah Rafah di selatan Gaza diceroboh dan dikuasai tentera Zionis, Israel.

Beliau berkata, kem Sumoud mengandungi 300 khemah, 100 daripadanya diurus oleh MCM manakala bakinya diselia sebuah NGO antarabansa, Emaar Foundation.

“Ahmed Abu Ayesh dan pasukannya telah memasang lapan panel solar tenaga untuk bekalan elektrik kepada penghuni kem Sumoud.

“Selain itu, mereka turut memasak dan mengagihkan makanan, air minuman dan air bersih kepada penghuni di 100 khemah di situ setiap hari,” kata Zulkifli.

Menurutnya, 100 khemah itu adalah peringkat pertama.InsyaAllah kami akan memasang dan menguruskan 100 hingga 200 khemah lagi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, biarpun banyak NGO dari seluruh dunia menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada penduduk Gaza, ia masih daripada mencukupi dan belum mampu melengkapkan keperluan asas mereka.

“Oleh itu MCM merayu seluruh rakyat Malaysia agar terus memberi sumbangan dan insyaAllah semua sumbangan itu mampu kami salurkan kepada penduduk Gaza kerana kami ada Abu Ayesh di sana,” katanya 

Zulkifli berkata, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia (564490413882) dan hantarkan slip pindahan wang dengan rujukan Palestin kepada talian hotline MCM 011-50050035 atau 016-9978323 (Johari)




© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia