MCM SUMBANG SET GENERATOR MENERANGI MADRASAH DI ACEH (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
14 January, 2026

Kira-kira 300 pelajar yang menimba ilmu Dayah Al-Ikhlas di Banda Aceh, Aceh kini tidak lagi bergelap sekiranya berlaku gangguan elektrik selepas Muslim Care Malaysia (MCM) menyumbang satu set generator 8,700 watt kepada institusi pengajian agama itu.

Sumbangan bernilai RM2,500 itu diserahkan oleh Presiden MCM, Haji Zulkifli Wahijan kepada Mudir Dayah Al-Ikhlas, Ustaz Darisman di penghujung program Misi Bantuan Banjir Aceh 3.0 MCM pada 3 Januari 2026.

“Semoga set generator ini bakal menerangi Dayah Al-Ikhlas untuk aktiviti pembelajaran kira-kira 300 pelajarnya dan turut memberi pahala kepada orang ramai yang menginfak kepada MCM untuk pembelian mesin ini,” kata Haji Zulkifli.

Ustaz Darisman pula melahirkan kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada rakayat Malaysia dan MCM kerana prihatin terhadap pembelajaran di Dayah Al-Ikhlas.

“Ketika banjir lumpur melanda Aceh pada November 2025, madrasah kami tiada bekalan elektrik selama ebih sebulan, menyebabkan pembelajaran terganggu.

“Alhamdulillah, kini masalah itu telah selesai. Jika berlaku lagi gangguan elektrik selepas ini, insya Allah pelajar tetap akan dapat meneruskan pengajian seperti biasa,” katanya.

Misi Bantuan Banjir Aceh 3.0 mengambil masa enam hari dari 30 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 dengan agihan pelbagai barangan yang keseluruhan bernilai RM450,000 untuk manfaat kira-kira 5,000 mangsa banjir.

Misi membabitkan lapan NGO Malaysia diketuai Muslim Care Malaysia (MCM) bersama PAPISMA, Ikhlas Care, Ops Ihsan, Pertubuhan Kebajikan Berkat (Berkat), Harmoni Prihatin Malaysia (HPM), Pertubuhan Kebajikan Ilmu & Amal Selangor (Geng Talaqqi) dan Pertubuhan Jariah Qaseh (PJQ).



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia