MCM SERAH BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI NEPAL

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
10 September, 2026

Muslim Care Malaysia (MCM) terus menzahirkan komitmennya membantu masyarakat antarabangsa yang ditimpa bencana, kali ini menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan penderitaan mangsa banjir kilat Bhote Koshi–Trishuli yang melanda Nepal pada 26 Ogos 2026.

Bencana itu meragut nyawa, memusnahkan rumah dan infrastruktur di daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading serta kawasan sekitar Sungai Trishuli. Setakat kemaskini terkini, sekurang-kurangnya 1,355 kematian telah disahkan manakala hampir 5,000 individu lagi masih dilaporkan hilang, dengan operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa Nepal masih diteruskan.

Bantuan MCM disalurkan menerusi rakan pelaksana di lapangan, Al Hira Educational Society Nepal, yang mengedarkan 30 pakej bantuan kepada keluarga mangsa banjir di kawasan Battar dan Devighat, daerah Nuwakot, pada 7 September 2026.

Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada 100 pakej keseluruhan yang diagihkan kepada penduduk yang kini tinggal di kem pelindungan berhampiran tebing Sungai Trishuli.

Setiap pakej mengandungi bekalan makanan asas, kit kebersihan, selimut serta bahan berkaitan tempat perlindungan, disalurkan dengan kerjasama pengerusi Wad 3 Battar dan anggota polis tempatan bagi memastikan bantuan sampai kepada keluarga yang paling memerlukan.

MCM sekali lagi membuktikan bahawa jarak bukan penghalang untuk berdiri bersama saudara seagama dan sesama manusia yang dilanda kesusahan, dan akan terus mencari peluang untuk menghulurkan bantuan pada masa hadapan.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia