MCM SANTUNI PELARIAN PALESTIN DI LUBNAN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
26 February, 2026
Muslim Care Malaysia meneruskan misi kemanusiaan dengan menyantuni pelarian Palestin di Kem Ain Al-Helwa, yang terletak berhampiran bandar Sidon. Kem ini merupakan kem pelarian Palestin terbesar di Lubnan dengan kepadatan dianggarkan sekitar 100,000 penduduk dalam keluasan hanya kira-kira 0.3 kilometer persegi.
Ditubuhkan pada 1948 susulan peristiwa Nakbah, kem ini menjadi tempat perlindungan buat ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tanah air mereka. Namun lebih tujuh dekad berlalu, generasi demi generasi masih terperangkap dalam kehidupan serba kekurangan dan ketidaktentuan masa depan.
Kem Ain Al-Helwa turut menyimpan kisah tragis yang terus membekas dalam ingatan komuniti setempat. Dua bulan lalu, 13 anak muda yang sedang bermain bola sepak di sebuah padang futsal dilaporkan syahid selepas kawasan tersebut dibom oleh Israel kerana disangka sebagai anggota Hamas. Insiden itu meninggalkan trauma mendalam kepada penduduk yang sedia hidup dalam suasana tegang dan sentiasa dibayangi ancaman keselamatan.
Keadaan hidup di dalam kem amat mencabar. Infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan ruang kediaman berada pada tahap terhad, dengan lorong-lorong sempit serta bangunan yang padat dan uzur. Menurut rakan NGO tempatan, H.A.R.D (Human Association Relief and Development), rakyat Palestin di Lubnan tidak dibenarkan bekerja dalam 17 sektor pekerjaan utama. Peluang ekonomi yang terhad menyebabkan ramai terpaksa menerima gaji jauh lebih rendah berbanding penduduk tempatan. Malah terdapat doktor Palestin yang hanya memperoleh sekitar USD200 sebulan, berbanding kira-kira USD2,000 yang diterima masyarakat tempatan bagi bidang yang sama.
Dalam misi kali ini, seramai 50 keluarga telah menerima sumbangan keperluan asas. Walaupun berdepan kesempitan hidup, para penerima tetap menzahirkan rasa syukur dan merakamkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas keprihatinan yang dizahirkan. Mereka tidak putus-putus mendoakan agar segala kebaikan ini dibalas dengan keberkatan yang berpanjangan serta agar suatu hari nanti mereka dapat kembali menikmati kehidupan yang aman dan bermaruah di tanah air sendiri.