MCM SANTUNI MANGSA BANJIR DI TUMPAT

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
4 December, 2025

Rombongan Muslim Care Malaysia (MCM) telah turun padang pada 1 Disember 2025 bagi menyantuni mangsa banjir di sekitar daerah Tumpat, Kelantan. Misi bantuan ini menzahirkan solidariti serta keprihatinan terhadap keluarga yang terkesan akibat bencana banjir yang berlaku.

Dipimpin oleh Haji Zulkifli Wahijan Presiden MCM, bersama Haji Arman Mustafa Exco MCM, serta pasukan sukarelawan MCM, misi ini menumpukan kepada penyerahan bantuan serta lawatan menyantuni mangsa di kediaman mereka.

Penyerahan sumbangan dilaksanakan di Pusat Khidmat Masyarakat Tumpat, diikuti ziarah beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, bagi menilai sendiri kesan dan kerosakan yang dialami.

Sebanyak 100 pek makanan siap santap (ready-to-eat), 50 bantal dan 50 tilam toto diagihkan kepada para penerima. Sumbangan ini dirangka bagi memberi kelegaan awal kepada mangsa yang terpaksa meninggalkan kediaman serta kehilangan barangan asas akibat bencana.

Misi ini bertujuan menyampaikan bantuan kecemasan serta mengangkat semangat mangsa banjir agar mereka tidak merasa keseorangan dalam menghadapi dugaan ini.

Muslim Care Malaysia mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua penyumbang dan orang ramai atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan. Komitmen ini menjadikan MCM terus komited berada di barisan hadapan dalam kerja-kerja kemanusiaan di tanah air.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia