MCM SANTUNI 100 KELUARGA ASNAF DI PULAU TUBA
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
24 August, 2026
Seramai 100 keluarga asnaf di Pulau Tuba menerima sumbangan pek makanan asas menerusi Misi Kasih Asnaf Pulau Tuba anjuran Muslim Care Malaysia Society (MCM) yang berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 Ogos 2026.
Misi berkenaan turut melibatkan ziarah dari rumah ke rumah kepada enam keluarga asnaf bagi melihat sendiri keadaan serta keperluan mereka, selain menyampaikan sumbangan dan sokongan kepada keluarga terbabit.
MCM dalam misi tersebut diwakili oleh Haji Mohd Johari Ismail, Timbalan Presiden MCM; Suryana Sutarzi, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) MCM; dan Zuriati Yaacob, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) MCM, bersama barisan sukarelawan HEROES MCM.
Selain aktiviti kebajikan, program turut diisi dengan Ceramah Palestin di Masjid Al Wafa, Pulau Tuba bagi berkongsi perkembangan semasa serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kemanusiaan di Palestin.
Suasana program turut dimeriahkan dengan aktiviti cabutan bertuah bersama jemaah masjid dan pelajar tahfiz sebagai salah satu pendekatan mengeratkan hubungan serta ukhuwah antara rombongan MCM dan masyarakat setempat.
Rombongan MCM turut mengikuti sesi tausiah selepas solat Subuh berjemaah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Rozali, Mudir SRITI Al-Qawwam, Nibong Tebal, Pulau Pinang, sebagai pengisian rohani dan muhasabah dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan.
Dalam rangka misi sama, delegasi turut mengadakan ziarah ke pusat tahfiz berhampiran sebelum meneruskan Ziarah Mahabbah ke Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Kuah, bagi mengeratkan silaturahim serta membina jaringan kerjasama dengan institusi setempat.
MCM merakamkan penghargaan kepada para penyumbang, sukarelawan, pihak masjid, pengurusan tahfiz, SRIDU serta masyarakat Pulau Tuba atas kerjasama dan sambutan yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Misi itu diharap bukan sahaja dapat meringankan beban golongan asnaf, malah terus menyemai nilai keprihatinan, kasih sayang dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat.