MCM RAIH PENSIJILAN ISO 9001:2015, PERKUKUH INTEGRITI DAN TADBIR URUS
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
4 November, 2026
Alhamdulillah, satu lagi pencapaian bersejarah buat Muslim Care Malaysia Society (MCM) apabila secara rasmi menerima *Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 daripada SIRIM QAS International.
Majlis Penyerahan Sijil ISO 9001:2015 itu berlangsung di Ibu Pejabat SIRIM di Shah Alam, Selangor pada Isnin, 2 November 2026.
Penyerahan dilakukan oleh Chief Sales & Marketing Officer SIRIM Berhad, Haji Aminuddin Abdul Aziz kepada Presiden MCM Haji Zulkifli Wahijan.
MEMARTABATKAN INTEGRITI MELALUI AKAUNTABILITI DAN KETELUSAN
Pencapaian ini menandakan satu langkah penting dalam usaha MCM memperkukuh sistem pengurusan organisasi, khususnya dalam aspek integriti, akauntabiliti, ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan misi kemanusiaan.
Haji Zulkifli berkata, pengurusan sebuah organisasi kemanusiaan bukan sekadar berkaitan kecekapan operasi, tetapi turut melibatkan amanah besar terhadap penyumbang, penerima manfaat, rakan strategik dan masyarakat.
“Bagaimanapun ISO 9001 tidak seharusnya dilihat sebagai sijil pengiktirafan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada budaya kerja yang lebih profesional, sistematik dan berintegriti,” katanya.
Beliau berkata, setiap sumbangan yang diterima perlu diurus dengan penuh tanggungjawab, bermula daripada perancangan, kelulusan, pelaksanaan dan pengagihan bantuan sehinggalah kepada pelaporan yang telus serta boleh dijejaki.
Sementara itu, Haji Aminuddin dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada MCM atas penganugerahan sijil perakuan itu dan menekankan bahawa kepercayaan aset paling bernilai bagi sesebuah organisasi.
Beliau turut menjelaskan bahawa ISO 9001 bukan sekadar berkaitan dokumentasi atau pematuhan kepada piawaian, sebaliknya satu usaha membina budaya kualiti, akauntabiliti dan penambahbaikan berterusan.
“Pensijilan ini akan membantu MCM memperkukuh keyakinan para penyumbang dan pihak berkepentingan, meningkatkan keberkesanan operasi serta memastikan inisiatif kemanusiaan yang dilaksanakan terus memberikan impak bermakna kepada masyarakat,” katanya.
Bagi MCM, pensijilan ini bukanlah titik penamat, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar* dalam memastikan setiap amanah diurus secara profesional, telus dan berkesan.
Pengiktirafan ini juga menjadi pemangkin kepada usaha MCM untuk terus meningkatkan standard tadbir urus dan profesionalisme NGO kemanusiaan, seiring dengan perkembangan program bantuan, kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti di dalam serta luar negara.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada SIRIM QAS International, barisan kepimpinan, pihak pengurusan, kakitangan dan seluruh warga MCM yang telah bersama-sama menjayakan usaha ke arah pensijilan ini. Kerana setiap sumbangan adalah amanah, dan setiap amanah menuntut integriti.