MCM PANTAS HULUR BANTUAN MANGSA GEMPA BUMI MINDANAO:

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 June, 2026

Satu perjalanan yang panjang demi sebuah amanah. Bermula dari Kuala Lumpur, transit selama 4 jam di Manila, sehinggalah kaki melangkah keluar di Davao City, Mindanao tepat jam 4.45 pagi. Usai solat Subuh di lapangan terbang, perjalanan diteruskan melalui jalan darat menuju ke Cotabato bersama rakan kerjasama NGO tempatan, Hay-At Littanmiah Mindanao.

Mewakili Muslim Care Malaysia Society (MCM), Timbalan Presiden, Hj Mohd Johari Ismail bersama Ahli Lembaga Pengarah, Hj Arman Mustafa, menggalas tugas berat ini, meninjau impak gempabumi sekali gus menyalurkan bantuan awal.

Hasil perbincangan bersama Pengerusi Hay-At Littanmiah, Ustaz Abdul Nasir, MCM telah meluluskan sumbangan segera sebanyak 300 pek keperluan harian bernilai USD6,000.00.

Laluan menuju ke lokasi bencana di Lebak, Daerah Sultan Kudarat (110 km dari Cotabato) benar-benar menguji. Hujan lebat sepanjang jalan menyebabkan pemanduan terhad sekitar 60-70 km/j sahaja.

Jam 8.00 malam, kami tiba di sebuah masjid tempatan. Di sana, para mangsa gempa sudah sedia menanti dengan penuh harapan. Selesai penyerahan bantuan, kami diraikan oleh wakil penduduk, Ustaz Ismael, untuk makan malam dan berehat.

Keesokan harinya, misi diteruskan ke General Santos. Kami menyaksikan sendiri sebuah restoran makanan segera "Jollibee" yang runtuh sepenuhnya ke tanah. Kerja pembersihan sisa runtuhan sedang giat dijalankan.

Kami kemudiannya bergerak ke Sarangani. Di sini, mata kami dihidangkan dengan pemandangan dinding rumah yang rekah, lantai yang pecah, dan struktur utama bangunan yang sudah tidak selamat untuk didiami. Lebih menyedihkan, ada penduduk yang keluar berdiri di tepi jalan, menanti kalau-kalau ada bantuan yang lalu.

"Ada kawasan yang langsung belum menerima sebarang bantuan sejak bencana berlaku," luah salah seorang ketua komuniti di sana.

Kehadiran MCM bukan sekadar membawa kotak bantuan, tetapi membawa mesej bahawa mereka tidak bersendirian. Senyuman dan ucapan terima kasih yang tidak putus-putus daripada rakyat Mindanao untuk rakyat Malaysia benar-benar menyentuh hati.

Hari ini hari mereka diuji, esok lusa mungkin giliran kita.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)

Rasulullah ﷺ juga bersabda:

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, rahmat dan belas kasihan sesama mereka seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut berjaga malam dan demam.” (HR Muslim)


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia