MCM-OPS IHSAN METERAI MOU BERSAMA PERBANDARAN KHAN YOUNIS
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
16 March, 2026
Alhamdulillah, satu langkah penting dalam usaha memperkukuh kerjasama kemanusiaan di Gaza telah berjaya direalisasikan apabila Muslim Care Malaysia Society (MCM) menerusi Ops Ihsan secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbandaran Khan Younis, Gaza, Palestin.
Majlis menandatangani memorandum ini telah diwakili oleh Pengerusi Muslim Care Malaysia di Palestin, Saudara Ahmed Abu Ayesh, manakala pihak Perbandaran Khan Younis diwakili oleh Datuk Bandar Khan Younis, Dr. Alaa Al-Din Muhammad Al-Batta.
Memorandum ini dimeterai sebagai simbol komitmen bersama antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama bagi melaksanakan pelbagai projek bantuan kemanusiaan dan pembangunan asas untuk membantu masyarakat Palestin khususnya di wilayah Khan Younis yang terjejas teruk akibat konflik berpanjangan.
Melalui kerjasama strategik ini, beberapa projek kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat akan dilaksanakan termasuk:
• Pembinaan dan pembaikan rangkaian bekalan air
• Penggerudian telaga air bersih
• Pembaikan kemudahan awam
• Pembersihan runtuhan akibat serangan
• Projek-projek kebajikan lain bagi membantu kehidupan rakyat Palestin
Perbandaran Khan Younis juga akan membantu dari segi penyelarasan dan pemantauan bagi memastikan projek-projek yang dibiayai oleh Muslim Care Malaysia dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan.
Kerjasama ini menjadi satu langkah penting dalam memastikan bantuan daripada rakyat Malaysia dapat disalurkan secara lebih terancang, berkesan dan memberi impak langsung kepada komuniti yang terjejas di Gaza.
Muslim Care Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang yang terus bersama dalam menjayakan misi kemanusiaan ini.
Sesungguhnya setiap sumbangan anda menjadi sinar harapan buat saudara kita di Palestin yang sedang berjuang meneruskan kehidupan di tengah ujian yang berat.