MCM DIPELAWA SANTUNI PELARIAN PALESTIN DI JORDAN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
12 November, 2023

Muslim Care Malaysia (MCM) dipelawa menjalankan aktiviti kebajikan di Jordan, khususnya membabitkan pelarian Palestin yang berjumlah lebih 400,000 orang di negara itu.

Itu antara perkara dibincangkan dalam pertemuan tiga pemimpin MCM dengan Dr Jaber Hassan, Setiausaha Agung Islamic Charity Center Society (ICCS) Jordan di Amman, Jordan pada 29 Oktober 2023.

Delegasi MCM diketuai Timbalan Presiden, Mohd Johari Ismail. Turut serta, Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media Tuan Asri Tuan Hussein.

Dr Jaber berkata, selaku negara berjiran, ramai rakyat Palestin lari dan berhijrah ke Jordan sejak awal konflik tercetus pada 1948 dan pada masa ini terdapat 14 kem pelarian Palestin di seluruh Jordan.

ICCS yang diasaskan pada 1963 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpengaruh di Jordan dan memiliki dua hospital swasta serta 20 rangkaian pusat kesihatan.

"Kami memiliki pusat kesihatan di semua 14 kem pelarian termasuk kem Baqa'a di utara Jordan yang dihuni lebih 100,000 orang," kata Dr Jaber yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya.

Menurutnya, Islamic Hospital yang dimiliki ICCS, adalah hospital swasta terbesar di Amman dengan kemudahan 250 katil serta dilengkapi masjid dan sebuah bangunan premis komersial.

Pengurus Besar Islamic Hospital, Dr Mohammed Al-Thneibat, berkata terdapat 1,500 kakitangan di hospital itu termasak lebih 100 doktor pakar.

"Kami amat mengalu-alukan MCM datang ke Jordan dan bekerjasama dengan kami melakukan aktiviti kebajikan berkaitan kesihatan khusus untuk orang Palestin yang tinggal di kem pelarian," kata Dr Mohammed yang turut sama dalam perbincangan itu.





© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia