MCM DAN USIM METERAI PERJANJIAN UNTUK PENGAJIAN DIPLOMA KERJA SOSIAL

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
1 October, 2026

Majlis menandatangani Surat Hasrat antara MCM dan Universiti Islam Malaysia (USIM) TalentCraft atau UTC untuk pelaksanaan program pengajian itu berlangsung di pejabat UTC di Nilai, Negeri Sembilan, pada 29 September 2026.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Program Diploma Operasi, Pentadbiran dan Kerja Sosial, yang menggabungkan aspek pengurusan operasi, pentadbiran serta kemahiran dalam bidang kerja sosial.

Dalam majlis itu, MCM diwakili Presidennya, Haji Zulkifli Wahijan manakala UTC diwakili Pengarah, Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin.

Mohd Shahrul Nizam berkata, setakat ini MCM adalah NGO kebajikan dan kemanusiaan yang pertama mengikuti program pengajian itu di UTC yang dirancang bermula awal tahun depan.

Beliau berkata, bidang pengajian itu penting kerana Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 (RUU PKS 2026) yang diluluskan Parlimen pada Julai lalu bakal mewajibkan semua pekerja sosial termasuk petugas NGO berdaftar dengan Lembaga Profesion Kerja Sosial.

“Untuk pendaftaran diluluskan pekerja sosial wajib memiliki kelayakan akademik Pengurusan Kerja Sosial sekurang-kurangnya peringkat sijil, sama ada tahap satu hingga paling tinggi, tahap lima yang setaraf diploma lanjutan,” kata beliau.

Hadir sama di majlis menandatangani surat hasrat itu ialah Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar, Bendahari Agung MCM Ustaz Ahmad Shukri Ismail dan Penyelaras UTC Leftenan Kolonel Rozaimi Kamarudin.

Program ini juga diharapkan dapat membuka ruang kepada peserta untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang relevan, di samping mendapat pendedahan kepada realiti pengurusan serta pelaksanaan kerja-kerja sosial di lapangan.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia