MCM BAIKI JALAN ROSAK DI RAFAH (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
12 April, 2026
Dalam usaha berterusan membantu pemulihan infrastruktur di Gaza yang musnah akibat serangan berpanjangan, satu projek baik pulih jalan telah berjaya dilaksanakan di Jalan Al Tinah, Rafah sejauh 1 kilometer.
Projek ini memberi fokus kepada kerja road grading menggunakan bahan kitar semula (recycled fine aggregate) bagi membaiki laluan yang rosak teruk akibat runtuhan bangunan serta keadaan berlumpur yang membahayakan penduduk setempat. Jalan ini merupakan antara laluan penting bagi pergerakan harian penduduk, termasuk akses kepada bantuan kemanusiaan.
Pelaksanaan projek ini adalah hasil kerjasama erat antara Muslim Care Malaysia Society, Majlis Perbandaran Rafah, Wisma Putra, Ops Ihsan serta Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), yang terus komited memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan di lapangan.
Usaha ini bukan sahaja memulihkan kemudahan asas, malah memberi nafas baharu kepada komuniti yang telah lama terkesan akibat konflik. Kini, penduduk dapat melalui jalan tersebut dengan lebih selamat dan lancar, sekaligus memudahkan urusan harian mereka.
Muslim Care Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah putus menyokong misi kemanusiaan ini. Setiap sumbangan anda adalah sinar harapan buat saudara kita di Gaza.
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan.
Tepat Pada Waktunya, Tepat Pada Sasaran.