MB KELANTAN SERAH KUNCI 10 RUMAH 'HOME2LIVE'

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
30 April, 2023
"Apa yang dilakukan Muslim Care Malaysia adalah dakwah perbuatan. Ia satu pendekatan dakwah terbaik, berbanding dakwah melalui lisan atau percakapan."
Demikian kata Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato' Haji Ahmad Bin Yaakub ketika berucap di Majlis Serahan Kunci 10 Rumah "Home2Live" Muslim Care Malaysia (MCM) dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang.
Majlis diadakan pada Rabu, 26 April di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang.
Menteri Besar turut mengucapkan tahniah kepada MCM dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato' Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff kerana berjaya menjalinkan kerjasama yang memberi manfaat kepada penduduk Kelantan.
Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Bin Wahijan dalam ucapannya di majlis itu berkata hasil kerjasama itu sebanyak 10 rumah "Home2Live" dibina untuk golongan memerlukan di Rantau Panjang.
"Inisiatif ini bermula ketika wabak Covid-19 mula melanda negara lebih dua tahun lalu dan sehingga kini sudah lebih 50 rumah yang setiap satu berharga kira-kira RM60,000, dibina di seluruh negara,' katanya.
Untuk “Home2Live” di Rantau Panjang, sebanyak 10 rumah dibina hampir serentak bermula Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Januari tahun ini.
Kos pembinaan keseluruhan sebanyak RM560,000 ditanggung bersama oleh MCM dan Pejabat Ahli Parlimen Rantau Panjang.
Hadir sama di majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, YB Abdul Rasul Bin Muhamed dan ADUN Gual Periuk, Dato' Haji Mohamad Bin Awang.
 
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia