MASJID MCM DI MANILA, DALAM PERANCANGAN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
15 April, 2026
Satu sesi mesyuarat berkaitan pembinaan masjid di Manila telah diadakan bersama Dato' Abdul Malik Melvin Castelino Anthony, Duta Besar Malaysia ke Filipina pada 14 April 2026
Dalam pertemuan tersebut, Muslim Care Malaysia Society (MCM) telah mengutarakan hasrat untuk mengusahakan pembinaan sebuah masjid di Mandaluyong City, sebagai usaha menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan teratur kepada umat Islam di kawasan tersebut.
Difahamkan, terdapat kira-kira 17,000 umat Islam minoriti di Mandaluyong, namun mereka ketika ini hanya mempunyai sebuah ruang sewaan yang sangat terhad, iaitu sekitar 100 kaki persegi, untuk dijadikan tempat menunaikan ibadah termasuk solat fardhu, solat Jumaat dan juga solat tarawih.
Mesyuarat ini turut membuka ruang kerjasama strategik antara MCM, institusi perbankan tempatan, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam merealisasikan pembinaan masjid yang bakal menjadi pusat ibadah, pendidikan dan kebajikan komuniti setempat.
Inisiatif ini diharapkan mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat Islam di Mandaluyong, sekali gus memperkukuh syiar Islam serta kesejahteraan ummah di sana.
Semoga segala usaha murni ini dipermudahkan dan mendapat keredhaan Allah SWT.