MASJID AL DA’WAH WAKAYAMA: SYIAR KOLOBRASI MCM KE-5 DI JEPUN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
16 November, 2026

Alhamdulillah, satu lagi mercu tanda perkembangan dakwah Islam di bumi matahari terbit tercipta apabila Majlis Perasmian Masjid Al Da’wah dan Japan Da’wah Centre (JDC) di Wakayama, Jepun telah berlangsung dengan lancar dan penuh bermakna pada 15 November 2026..

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Dr. Abdul Basit (Abu Anas Madani) dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, serta Dato’ Mohd Ajib yang hadir mewakili Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Muslim Care Malaysia Society(MCM) diwakili Presiden, Tuan Haji Zulkifli Wahijan dan Timbalan Presiden, Mohd Johari Ismail bagi menghadiri majlis bersejarah ini bersama wakil Japan Da’wah Centre, pimpinan pertubuhan Islam serta pelbagai agensi yang terlibat dalam menjayakan pembinaan masjid berkenaan.

Pembukaan Masjid Al Da’wah merupakan hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk JDC, MCM dan beberapa agensi serta penyumbang yang bersama-sama menyediakan dana bagi merealisasikan projek tersebut. MCM telah menyumbangkan sebanyak RM1.283 juta sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh perkembangan Islam dan dakwah di Jepun.

Presiden Muslim Care Malaysia, Tuan Haji Zulkifli Wahijan, dalam perkongsiannya melahirkan rasa syukur atas kejayaan pembukaan masjid berkenaan.

“Alhamdulillah, pahala telah mula mengalir atas nama para pewakaf selagi mana wujudnya Masjid Al Da’wah ini.”

Masjid ini bukan sekadar tempat mendirikan solat, bahkan diharapkan menjadi pusat penyebaran ilmu, bimbingan saudara baharu, pengukuhan ukhuwah dan jambatan memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat Jepun melalui pendekatan dakwah yang berhikmah.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 125:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik.”

Ayat ini menjadi pedoman bahawa usaha dakwah bukan sekadar tanggungjawab menyampaikan Islam, tetapi perlu dilaksanakan dengan kebijaksanaan, akhlak mulia, kesabaran dan pendekatan yang sesuai dengan masyarakat setempat.

Rasulullah SAW turut bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini mengingatkan bahawa setiap Muslim mempunyai peranan dalam menyampaikan kebaikan dan memperkenalkan ajaran Islam mengikut kemampuan masing-masing.

Justeru, MCM berharap agar Masjid Al Da’wah terus dimakmurkan dengan solat berjemaah, majlis ilmu, pendidikan Islam, aktiviti kemasyarakatan serta usaha dakwah yang berterusan demi melahirkan generasi Muslim yang teguh iman dan berakhlak mulia.

MCM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Japan Da’wah Centre, rakan-rakan strategik serta seluruh penyumbang yang telah menghulurkan dana dan sokongan sehingga terlaksananya projek ini.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia