“MARATHON” 12 JAM AGIH 1,000 PEK BANTUAN KE 13 LOKASI (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
14 January, 2026
Ada yang bergenang air mata manakala yang lain tak putus-putus mengucapkan terima kasih dan lafaz kesyukuran sejurus menerima pek bantuan daripada kami.
“Terima kasih bapak, ibu. Syukur Alhamdulillah,” kata mereka. “Inilah bekalan air bersih pertama yang kami terima selepas lebih sebulan,” kata seorang penerima lain sambil menunjukkan air berwarna ‘teh o’ dalam baldi di depannya.
Bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 9 malam tanggal 31 Disember 2025, seramai lebih 50 peserta Misi Bantuan Banjir Aceh 3.0 Muslim Care Malaysia (MCM) menjelajah 13 kampung di sekitar Aceh Tamiang. Antaranya, kampung Pipa, Alur Meranti, Kampung Jawa, Sidodadi, Pantai Tinjau, Sekerak, Lubuk Sidub dan Banai.
NGO yang berkolaborasi bersama MCM untuk misi ini ialah Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Ikhlas Care, Ops Ihsan, Pertubuhan Kebajikan Berkat (Berkat), Harmoni Prihatin Malaysia (HPM), Petubuhan Kebajikan Ilmu & Amal Selangor (Geng Talaqqi) dan Pertubuhan Jariah Qaseh (PJQ).
Kami dibantu dua NGO di Aceh bagi melicinkan gerak kerja iaitu Yayasan Pendidikan Ikhlashul Ummah dan Yayasan Darul Ikhsan Aceh.
Misi mengambil masa enam hari dari 30 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 dengan agihan pelbagai barangan yang keseluruhan bernilai RM450,000 untuk manfaat kira-kira 5,000 mangsa banjir di sekitar Aceh Tamiang dan Lokhseumawe.
Setiap pek bernilai RM160 mengandungi beras 10kg, minyak masak 2kg, gula, ikan kering, kain sarung, telekung dan pakaian dalam untuk lelaki dan wanita.
Muslim Care Malaysia
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan
Tepat Pada Waktunya Tepat Pada Sasaran