MANGSA BANJIR SERBU DOKTOR MALAYSIA (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
15 December, 2025

Cirit birit, batuk, demam dan gatal-gatal pada kulit antara penyakit yang mula merebak dalam kalangan mangsa banjir di Aceh selepas lebih dua minggu banjir lumpur luar biasa berlaku.

Itu yang dikesan peserta misi Bantuan Banjir Aceh Muslim Care Malaysia Society (MCM) ketika memberi khidmat pemeriksaan kesihatan di satu pusat pemindahan mangsa banjir di Jangka.

Sukarelawan perubatan MCM, Dr Mohd Ehsan Hakimi, berkata dia berkesempatan memeriksa lebih 100 mangsa banjir dalam masa dua jam setengah.

“Walaupun agak penat tapi saya puas hati kerana dapat membantu mereka. Semoga khidmat dan ubat yang diberikan akan memulihkan penyakit mereka.

“Alhamdulillah kita memang sudah menjangka masalah kesihatan yang dialami mangsa banjir dan sudah menyediakan jenis ubat diperlukan” katanya yang juga pemilik Klinik Syifak 24 Jam Selayang.

Sepanjang membuat pemeriksaan kesihatan di pusat pemindahan itu, Dr Mohd Ehsan dibantu seorang lagi sukarelawan atau Heroes MCM, Muhammad Akmal Abdul Rahman.

Mereka kemudian dibawa melawat sebuah klinik kesihatan di situ yang tidak mampu beroperasi dengan normal berikutan ketiadaan elektrik dan bekalan ubat yang amat terhad.

Misi bantuan MCM ke kawasan terjejas di Aceh berlangsung dari 9 hingga 14 Disember 2025 membabitkan kawasan sekitar Bireun, Pidie Jaya dan Juli.

Muslim Care Malaysia. Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan, Tepat Pada Waktunya Tepat Pada Sasaran



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia