MANGSA BANJIR DI BACHOK TURUT MENERIMA BANTUAN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
4 December, 2025
Alhamdulillah, selepas selesai misi penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Tumpat pada sesi pagi isnin 1 Disember, pasukan Muslim Care Malaysia (MCM) meneruskan perjalanan ke Bachok pada sebelah petang bagi menyambung bantuan kepada komuniti terjejas..
Turut bersama Haji Zulkifli Wahijan, Presiden MCM bersama Haji Johari Ismail (Timbalan Presiden), Ustaz Shukri (Bendahari), Safuan Ujar (Setiausaha Agung), serta wakil Exco MCM iaitu Haji Arman Mustafa dan Haji Tuan Asri Tuan Hussein disertai pasukan sukarelawan MCM.
Penyerahan bantuan sumbangan dilaksanakan di Pusat Khidmat Masyarakat Bachok dengan dihadiri beberapa penduduk kampung setempat yang terjejas banjir, dan rombongan meneruskan ziarah ke beberapa kediaman mangsa banjir di Kampung Baru Alor Pulai, Bachok, bagi melihat keadaan sebenar serta kesan bencana terhadap masyarakat setempat.
Sebanyak 150 pek bantuan makanan asas ready-to-eat telah diagihkan sebagai sokongan awal bagi membantu meringankan keperluan harian mangsa yang terjejas.
Pelaksanaan misi ini adalah komitmen berterusan MCM dalam membantu komuniti pascabencana, serta menzahirkan tanda solidariti kepada keluarga yang terkesan akibat banjir di negeri tersebut.
MCM turut merakamkan penghargaan kepada para penyumbang yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan dalam menjayakan misi kemanusiaan ini.