MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN CIMIC MALBATT 850-13

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
10 October, 2025

Satu majlis penyerahan sumbangan sempena program Civil Military Cooperation (CIMIC) telah diadakan di Perkampungan MALBATT, Bandar Baru Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1 Oktober 2025.

Majlis ini menyaksikan penyertaan pelbagai agensi dan badan korporat, serta penyerahan sumbangan oleh Muslim Care Malaysia (MCM) kepada Tim MALBATT 850-13 yang akan melaksanakan misi kemanusiaan di Lubnan.

Majlis penuh bermakna ini telah dirasmikan oleh Komander MALBATT 850-13, Kolonel Haji Mohd Rizwan bin Abdullah, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Muslim Care Malaysia diwakili oleh Haji Arman Mustafa dan Zuariti Ya'akob telah menyerahkan sumbangan bernilai RM43,000.00 kepada MALBATT 850-13. Sumbangan ini akan digunakan bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif CIMIC di Lubnan, termasuk program bantuan kemanusiaan, sokongan komuniti, dan pembangunan sosial di kawasan operasi pasukan pengaman Malaysia.

Antara agensi dan syarikat yang turut hadir serta menyokong program ini termasuk BHP Petrol, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings, Pharma Niaga & Affin Bank

Program CIMIC merupakan salah satu komponen penting dalam operasi misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memberi fokus kepada hubungan kerjasama antara tentera dan masyarakat awam di kawasan konflik. MALBATT 850-13 memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas-tugas ini di Lubnan dengan penuh komitmen dan profesionalisme.

Majlis ini bukan sahaja mencerminkan sokongan rakyat Malaysia terhadap anggota tentera yang bertugas di luar negara, tetapi juga memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi ketenteraan dan badan bukan kerajaan dalam menjayakan misi kemanusiaan sejagat.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia