MAJLIS IFTAR UNTUK 300 ORANG ASLI KAMPUNG GANTES

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
16 March, 2026

Kadang-kadang untuk sampai kepada sebuah kampung… bukan sekadar memandu di jalan biasa.Pasukan Muslim Care Malaysia perlu meredah hampir 2 jam perjalanan offroad dari Masjid Bawong untuk sampai ke Perkampungan Orang Asli Gentes, Sungai Siput. Jalan tanah, laluan hutan, dan perjalanan yang mencabar – tetapi semuanya berbaloi apabila melihat senyuman saudara kita di pedalaman.

Pada hari ahad lepas, sukarelawan MCM bergotong-royong memasak pelbagai hidangan berbuka puasa seperti ayam masak pedas, ikan dan lauk-pauk kampung untuk menjamu hampir 300 penduduk Orang Asli yang berkumpul bersama menikmati iftar Ramadan.

Sebelum ini, surau di perkampungan ini juga menerima bantuan daripada MCM bersama FGV Holdings yang membantu menambah baik kemudahan surau agar lebih ramai penduduk dapat mengimarahkan rumah Allah sepanjang Ramadan.

Menurut pendakwah yang bertugas di kawasan ini, Ustaz Ranee, majlis iftar sebenarnya diadakan setiap hari sepanjang Ramadan bagi memastikan penduduk dapat berbuka secara berjemaah. Pihak beliau juga masih membuka ruang kepada orang ramai yang ingin menaja iftar dengan anggaran kos sekitar RM2,500 untuk satu malam.Namun yang paling menyentuh hati bukan sekadar makanan yang dihidangkan.

Sebagai tanda terima kasih, penduduk kampung menghadiahkan durian, petai dan pelbagai hasil tanaman kampung kepada sukarelawan. Walaupun hidup serba sederhana, mereka tetap mahu memberi sesuatu kepada tetamu yang hadir.

Dalam program tersebut juga, Ustaz Muaz (AJK MCM) menyampaikan tazkirah ringkas kepada penduduk tentang kelebihan Ramadan – bulan untuk memperbaiki diri, menguatkan ukhuwah dan memperbanyakkan amal kebajikan.

Kadang-kadang kita sangka bantuan itu kecil.Tetapi bagi mereka di pedalaman, kehadiran kita sudah cukup besar maknanya.

Ramadan mengajar kita satu perkara, yang jauh kita dekati, yang susah kita santuni, yang memerlukan kita bantu bersama.

Jika ada yang ingin menaja iftar di perkampungan ini, peluang masih terbuka.

Semoga setiap suapan berbuka mereka… menjadi pahala berpanjangan buat kita semua.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia