LEBIH 1,000 ORANG BERHIMPUN PERTAHAN UNDANG-UNDANG SYARIAH

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 November, 2023

Solat sunat hajat dan laungan  “Allahu Akbar” bergema di perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada pagi 20 November 2023 apabila lebih 1,000 orang hadir bagi menzahirkan solidariti mempertahankan undang-undang syariah di negara ini.  

Wakil Muslim Care Malaysia (MCM) diketuai Presiden, Tuan Haji Zulkifli Wahijan turut hadir di perhimpunan aman itu yang dinamakan HImpunan Selamatkan Syariah.

Ia diadakan bagi membantah petisyen seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Orang ramai dilihat mula berkumpul di perkarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sejak jam 7 pagi lagi sebelum mereka bergerak ke perkarangan Istana Kehakiman.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud dan Timbalannya, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan turut perhimpunan dan solat hajat itu.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan menyambung sidang pada hari ini (20 November 2023)  bagi mendengar petisyen Nik Elin dan anaknya.

Dua beranak itu mendakwa 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan bertindan dengan undang-undang persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Peruntukan itu antara lain ialah memusnahkan tempat ibadat, pelacuran dan pelbagai kesalahan seksual lain, termasuk homoseksual, memberi keterangan palsu serta pemalsuan dokumen.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia