KUNJUNGAN KASIH DI BUMI JOHOR
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
30 April, 2026
Dalam setiap langkah kembara Muslim Care Malaysia (MCM) melalui Program Kasih Asnaf di Johor kali ini, kami mempelajari satu hakikat: Kekuatan sebenar tidak terletak pada tubuh yang sasa, tetapi pada jiwa yang enggan menyerah kalah.
Kisah Pertama: Syurga di Atas Tilam Kecil
Di sebuah rumah yang hening, kami bertemu dengan seorang ibu tunggal yang hebat. Seluruh dunianya diwakafkan buat cahaya mata tercinta seorang anak OKU berusia lima tahun yang terlantar tanpa daya.
Bagi si ibu, dunia luar seakan terhenti. Beliau tidak mampu bekerja tetap kerana setiap detik masanya adalah milik si kecil; untuk disuap, dimandikan, dan dijaga rapi. Satu-satunya punca rezeki hanyalah upah kecil menghantar anak saudara ke sekolah. Itu pun dilakukan dengan hati yang berdebar, mengenangkan permata hati yang ditinggalkan seketika di rumah.
Kisah Kedua: Tabahnya Seorang Bonda
Kembara diteruskan ke teratak seorang lagi ibu tunggal yang telah kehilangan suami. Peneman setianya hanyalah seorang anak istimewa Down Syndrome.
Dalam kedaifan, maruah tetap dijaga. Bau harum kuih-muih dari dapur kecilnya menjadi simbol usaha yang tidak pernah luntur. Namun, itulah realiti "kais pagi makan pagi" setiap sen hasil jualan di gerai adalah penyambung nyawa mereka berdua. Jika kuih tidak laku, maka sepi jugalah dapur mereka hari itu.
Titipan Kasih Buat Para Dermawan
Di sebalik setiap kotak bantuan yang dihulurkan, ada doa yang mengalir tanpa henti daripada lisan mereka buat anda. Kami di MCM hanyalah perantara, namun andalah nadi utama yang menggerakkan bantuan ini.
Terima kasih kerana memilih untuk menjadi 'pelangi' di saat hidup mereka sedang mendung. Tanpa sokongan anda, misi menyantuni asnaf ini tidak mungkin menjadi kenyataan.
Semoga setiap ringgit yang anda infaqkan menjadi pelindung serta asbab keberkatan yang melimpah-ruah buat keluarga anda, di dunia mahupun di akhirat. Amin.