KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT GABENOR IDLIB, SYRIA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
21 February, 2026

Pertemuan penuh bermakna telah terlaksana di Pejabat Rasmi Gabenor Idlib pada 13 Februari 2026 apabila pihak Muslim Care Malaysia (MCM) secara rasmi memenuhi jemputan Gabenor Muhammad Abdul Rahman hari ini.

Beliau yang merupakan figura anak muda di bawah pimpinan Kerajaan Ahmad Sharaa kini menggalas harapan cukup besar dalam mencorak masa depan Idlib, memandangkan wilayah ini menjadi nadi serta tempat lahirnya hampir kesemua barisan kepimpinan baharu negara Syria.

​Dalam pertemuan tersebut, Muhammad Abdul Rahman menzahirkan penghargaan yang mendalam terhadap komitmen berterusan Muslim Care Malaysia yang selama ini tidak pernah lelah membantu rakyat Syria sejak bermulanya konflik.

Kehadiran MCM di Idlib dianggap sangat signifikan, terutamanya dalam menyantuni keperluan pendidikan serta kebajikan penduduk yang masih cekal menetap di kem-kem pelarian.

​Kini, fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan keperluan asas masyarakat kembali pulih sepenuhnya. Antara agenda yang menjadi keutamaan beliau adalah pengukuhan sistem pendidikan bermula dari peringkat sekolah sehingga ke menara gading, selain memastikan kelestarian bekalan air bersih dan pembangunan infrastruktur awam yang lebih sempurna buat rakyat.

​Satu perkara yang menyentuh hati dalam pertemuan ini adalah mengenai nasib pusat ibadah di sana. Walaupun Idlib memiliki kira-kira 2,900 buah masjid, hanya 400 buah sahaja yang telah berjaya dibaiki setakat ini.

Justeru, Gabenor secara terbuka memohon kerjasama erat daripada pihak NGO serta seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu memulihkan 400 buah lagi masjid yang masih memerlukan bantuan segera agar dapat digunakan semula oleh penduduk setempat untuk tujuan ibadah dan pembangunan komuniti.

​Demi menjamin masa depan generasi muda, beliau turut mengusulkan satu langkah strategik menerusi jalinan hubungan antara universiti-universiti di Malaysia dengan universiti di Idlib. Usaha ini merangkumi pertukaran kepakaran akademik serta program pertukaran pelajar antara Syria dan Malaysia bagi memastikan perkongsian ilmu dapat diteruskan tanpa sempadan.

​Semoga usaha murni ini menjadi jambatan ukhuwah yang lebih kukuh antara Malaysia dan Syria dalam misi membina semula tamadun di bumi yang penuh barakah ini.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia