KONTENA BANTUAN MUSIM SEJUK SELAMAT TIBA DI GAZA (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
16 December, 2024

Selepas kira-kira sebulan menunggu dengan penuh debar, warga Muslim Care Malaysia (MCM) mengucap setinggi kesyukuran kepada Allah SWT apabila kontena membawa barangan bantuan musim sejuk untuk rakyat Palestin, akhirnya selamat tiba di Gaza pada 15 Disember 2024.

Ia satu berita yang amat melegakan kerana bukan mudah untuk lori membawa bantuan kemanusiaan dari Kaherah, Mesir sampai dengan selamat ke bumi Gaza yang sehingga kini masih dibom oleh tentera Zionis, Israel sejak tercetus Taufan al-Aqsa lebih setahun lalu.

Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan berkata berita ketibaan satu daripada tiga kontena yang berlepas dari Kaherah, Mesir pada pertengahan November lalu itu, diterimanya melalui kiriman WhatsApp pada awal pagi 15 Disember 2024.

“Syukur Alhamdulillah, ia satu berita yang amat melegakan. Tibanya barangan bantuan itu ke Gaza bermakna dengan izin Allah amanah rakyat Malaysia untuk penduduk Gaza dapat kami laksanakan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, satu kontena yang sudah tiba di Gaza itu membawa 1,800 pek lampin pakai buang, 550 kit kebersihan diri, selimut dan payung.

“Ada dua kontena lagi yang belum tiba dan satu daripadanya membawa 100 khemah untuk perlindungan pada musim sejuk sekarang. Kos semua barang itu mencecah RM400,000,” katanya.

Delegasi misi bantuan musim sejuk ke Palestin berlepad ke Mesir pada 9 November 2024 lalu membabitkan 15 orang dengan pelbagai latar belakang termasuk doktor perubatan, ahli akademik dan pakar perbankan.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia