KISAH MURID, GURU DAN OMBAK LAUT SULU
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
7 August, 2023
Setiap kali ada aktiviti luar sekolah di tanah besar, setiap kali itulah murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tigabu, Kudat, Sabah terpaksa bertarung nyawa, meredah ombak Laut Sulu untuk memastikan mereka dapat turut serta.
Memang menakutkan dan mendebarkan melihat mereka terpaksa bersesak-sesak menaiki bot kecil tidak berbumbung untuk menempuh perjalanan yang mengambil masa lebih sejam untuk ke bandar Kudat atau Pitas.
Itulah yang disaksikan sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) ketika mengunjungi pulau yang dihuni kira-kira 500 orang daripada 118 keluarga itu pada 2 Ogos 2023 lalu.
Panas dibakar terik mentari dan pakaian basah dek percikan ombak sudah menjadi lumrah buat anak-anak itu dan guru pengiring mereka, cuma setiap kali menaiki bot mereka berdoa agar laut tidak terlalu bergelora dan tiada ribut bertandang.
Selain ke tanah besar untuk menyertai aktiviti sukan dan kokurikulum peringkat daerah, guru SK Pulau Tigabu juga bertanggungjawab membawa anak murid mereka mendapat rawatan kesihatan di bandar terdekat dengan menaiki bot jika yang sakit atau demam.
Beban guru-guru dan ibu bapa semakin bertambah kerana kos tambang bot pergi dan balik untuk penumpang seramai tujuh hingga 10 orang, boleh mencecah RM700 atau RM800.
Menginsafi kesusahan dan bahaya dihadapi mereka, insya-Allah MCM akan meringankan beban mereka dengan melihat kemungkinan membantu SK Pulau Tigabu memiliki bot sendiri yang memenuhi piawaian keselamatan untuk manfaat murid-murid sekolah itu yang keseluruhannya berjumlah 120 orang.
Sementara itu, dalam kunjungan ke SK Pulau Tigabu, Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar turut menyampaikan bantuan pek makanan kepada keluarga 30 murid yang bapa mereka kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia.
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan.
Tepat pada sasaran.
Tepat pada waktunya.