KILAUAN PERMATA DI PONDOK DI NARATHIWAT

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
12 July, 2026

Alhamdulillah, perjalanan Program Ziarah Pondok Selatan Thailand diteruskan ke Pondok Darulhikam, Narathiwat, sebuah pondok yang menempatkan para pelajar lelaki yang tekun menuntut ilmu agama.

Dalam kunjungan ini, Haji Zulkifli, Presiden Muslim Care Malaysia Society, bersama Ustaz Shukri telah menyampaikan tausiah dan kata-kata semangat kepada anak-anak pondok. Mereka begitu khusyuk mendengar setiap nasihat yang disampaikan, malah jelas terpancar kegembiraan dengan kehadiran rombongan kami.

Saat Al-Quran disampaikan kepada mereka, senyuman yang terukir benar-benar menyentuh hati. Ketika itu kami sedar, yang paling menggembirakan mereka bukanlah nilai sumbangan yang dibawa, tetapi kehadiran insan yang sudi datang menziarahi, menyantuni dan berkongsi kasih sayang bersama mereka.

Selain menyampaikan Al-Quran, Muslim Care Malaysia Society turut menyerahkan sumbangan wang tunai, beras serta telekung Zara Awliya kepada warga pondok sebagai tanda sokongan buat para guru dan pelajar yang istiqamah mempertahankan tradisi ilmu.

Lebih bermakna, kami berpeluang menunaikan solat Zuhur berjemaah bersama warga pondok. Seusai solat, alunan selawat bergema memenuhi ruang surau. Allahuakbar… suasana yang cukup mendamaikan dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Hati terasa tenang, seolah-olah diingatkan kembali bahawa kekuatan ummah bermula daripada kecintaan kepada ilmu, al-Quran dan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Semoga Pondok Darulhikam terus melahirkan generasi yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan sunnah, serta segala sumbangan yang dihulurkan menjadi saham amal yang berkekalan di sisi Allah SWT.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia