KERAJAAN SABAH SOKONG MCM BINA MADRASAH TERAPUNG BANTU PALAUH
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
26 August, 2024
Usaha Muslim Care Malaysia (MCM) menyantuni golongan asnaf di Sabah termasuk komuniti Palauh di sekitar perairan Pulau Mabul, Semporna mendapat pujian kepimpinan kerajaan negeri.
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Awang Shahminan Datuk Awang Sahari, berkata inisiatif MCM terutama pembinaan Madrasah Terapung sesuatu yang istimewa dan amat dihargai.
“Usaha itu amat bertepatan dan selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memberi pendidikan kepada golongan Palauh di negeri Sabah.
“Sudah tentu kerajaan negeri sedia bekerjasama dan saya mengalu-alukan jika ada proposal atau perancangan baru daripada MCM sebagai kesinambungan usaha sedia ada,” katanya.
Datuk Awang Shahminan berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi MCM diketuai Presiden MCM,Tuan Haji Zulkifli Wahijan di pejabat beliau di Kota Kinabalu pada 19 Ogos 2024.
Hadir sama, Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar serta Ustaz Wan Azmi Wan Omar dan Dr Halimatun Saadiah Mat Saad dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau yang membangunkan silibus pendidikan Madrasah Terapung.
Komuniti Bajau Laut atau Palauh adalah golongan tanpa negara yang tinggal secara nomad di laut dengan berumahkan perahu kecil dan bertebaran di perairan Sabah terutama di wilayah Pantai Timur.
Ketika banyak pihak melihat mereka sebagai terpinggir, MCM mengambil langkah berani mewujudkan sekolah bergerak dinamakan Madrasah Terapung untuk memberi pendidikan asas Islam kepada kanak-kanak Palauh di perairan Pulau Mabul.
Mula beroperasi sejak Mac 2021, Madrasah Terapung konsisten memberikan ilmu kepada 15 murid yang kini sudah mampu mengucap kalimah syahadah, berselawat dan menunaikan solat.