KENDURI, SUMBANGAN BARANGAN, CERIAKAN 1,000 PENDUDUK KAMPUNG (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
14 January, 2026
Buat seketika, mereka seakan terlupa segala derita. Sumbangan makanan, pakaian, kelambu, tikar, pemeriksaan kesihatan dan ubat-ubatan, selain juadah kenduri rakyat, menjadikan penduduk bagaikan berpesta.
Begitulah suasana di perkarangan surau Kampung Rambong Payong, Sawang, Aceh Utara apabila lebih 1,000 penduduk termasuk dari kampung berdekatan, hadir di program Misi Bantuan Banjir Aceh 3.0 pada 2 Januari 2026.
Bermula dari tengah malam, penduduk bergotong royong menyediakan juadah kenduri rakyat dengan menu utama gulai lembu. Tiga ekor lembu ditumbangkan untuk tujuan itu.
Jam 8 pagi, ruang pemeriksaan kesihatan percuma mula dibuka, dikendalikan lapan doktor daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA). Hampir 500 penduduk memanfaatkan perkhidmatan itu.
Serentak dengan itu juga berlangsung sesi serahan pek makanan, kit kebersihan, pakaian dalam, tikar dan naskah al-Quran kepada 500 ketua keluarga dari lima kampung.
Setiap pek makanan bernilai RM160 mengandungi beras 10kg, minyak masak 2kg, gula dan telur manakala pakaian disumbangkan ialah kain sarung, telekung dan seluar dalam lelaki dan wanita, selain kelambu dan tikar.
Misi Bantuan Banjir Aceh 3.0 mengambil masa enam hari dari 30 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 dengan agihan pelbagai barangan yang keseluruhan bernilai RM450,000 untuk manfaat kira-kira 5,000 mangsa banjir.
Misi membabitkan lapan NGO Malaysia diketuai Muslim Care Malaysia (MCM) bersama PAPISMA, Ikhlas Care, Ops Ihsan, Pertubuhan Kebajikan Berkat (Berkat), Harmoni Prihatin Malaysia (HPM), Pertubuhan Kebajikan Ilmu & Amal Selangor (Geng Talaqqi) dan Pertubuhan Jariah Qaseh (PJQ).