KENDURI, KHATAN & PERIKSA KESIHATAN PERCUMA (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
26 October, 2026

Madrasah As Siddiqin, Chiang Rai sekali lagi menjadi saksi kepada usaha kebajikan dan dakwah yang digerakkan oleh Muslim Care Malaysia Society (MCM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menerusi Misi Dakwah & Kebajikan Chiang Rai 2026.

Seawal pagi Jumaat yang penuh keberkatan, suasana madrasah mula meriah dengan pelbagai persiapan. Seekor kambing disembelih untuk menyediakan hidangan kepada pasukan misi dan warga madrasah, manakala seekor lembu dibeli untuk dijadikan hidangan kenduri kepada para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat.

Menariknya, sebahagian jemaah datang dari perkampungan pedalaman yang jaraknya melebihi 30 kilometer, semata-mata untuk menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. Perjalanan yang jauh dan laluan berbukit tidak menghalang mereka untuk berkumpul mengimarahkan rumah Allah.

Pasukan MCM menguruskan penyembelihan, melapah serta memotong daging. Sementara itu, pasukan dari Besut yang diketuai Kak Ani bersama suami serta Kak Yan mengambil tanggungjawab menguruskan bahan masakan dan menyediakan hidangan untuk semua.

Lebih menggembirakan, anak-anak Madrasah As Siddiqin tidak sekadar menjadi pemerhati, malah turut turun padang membantu kerja melapah dan memotong daging. Mereka belajar erti kerjasama, tanggungjawab dan khidmat kepada masyarakat melalui pengalaman secara langsung.

Dalam masa yang sama, pasukan perubatan PAPISMA mengendalikan program berkhatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada masyarakat setempat.

Seramai 19 orang kanak-kanak berjaya dikhatankan, manakala beberapa peserta terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatan, termasuk masalah alahan dan penyakit kulit seperti kudis buta (scabies). Langkah ini diambil demi memastikan keselamatan mereka sebelum menjalani prosedur berkhatan.

Program ini turut mendapat kerjasama PERKIM yang membantu urusan penyediaan tempat berkhatan serta pembelian ubat-ubatan dan keperluan perubatan.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia