KEGIGIHAN ANAK YATIM DI PONDOK DARUL BARAKAH
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
12 July, 2026
Alhamdulillah, delegasi Muslim Care Malaysia berpeluang menziarahi Pondok Darul Barakah, sebuah institusi pendidikan Islam yang cukup mengagumkan.
Masya-Allah… pondok ini menempatkan sekitar 1,700 orang pelajar, dan sebahagian besar daripada mereka merupakan anak-anak yatim yang datang membawa harapan untuk membina masa depan berteraskan al-Quran dan sunnah.
Apa yang lebih menginspirasikan, pondok ini tidak hanya bergantung kepada sumbangan semata-mata. Mereka berusaha membina ekonomi sendiri dengan menghasilkan pelbagai produk seperti roti, kek dan pelbagai makanan sebagai sumber pendapatan bagi menampung keperluan operasi pondok serta kebajikan para pelajar.
Inilah gambaran sebenar sebuah institusi yang mendidik bukan sekadar ilmu agama, tetapi juga nilai berdikari, usaha dan keberkatan rezeki.
Delegasi Muslim Care Malaysia turut menyampaikan sumbangan berupa telekung, naskhah Al-Quran dan sumbangan tunai sebagai tanda kasih sayang dan sokongan kepada warga Pondok Darul Barakah.
Setinggi-tinggi penghargaan buat Baba Muhyidin atas sambutan yang begitu mesra serta ucapan terima kasih kepada Muslim Care Malaysia. Semoga ukhuwah yang terjalin ini terus diperkukuhkan dan menjadi asbab lahirnya lebih banyak kerjasama dalam membangunkan ummah.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.”
(Hadis riwayat al-Tabarani, dinilai hasan oleh sebahagian ulama)
Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi cahaya buat mereka yang menuntut ilmu, dan setiap langkah yang diatur menuju jalan kebaikan ini dihitung sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.
Teruskan menyokong usaha Muslim Care Malaysia dalam menyantuni saudara seagama, kerana setiap bantuan yang diberi bukan sekadar memenuhi keperluan, bahkan menyuburkan harapan.