KEDUTAAN SEDIA MENJADI PEMUDAH CARA UNTUK BANTU MCM

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
8 September, 2024

Kedutaan Malaysia di Kemboja bersedia menjadi pemudah cara untuk melancarkan segala kerja kebajikan dan dakwah Muslim Care Malaysia (MCM) di negara itu.

Komitmen itu dinyatakan Duta, Tuan Yang Terutama Shaharuddin On ketika menerima kunjungan hormat pasukan MCM di pejabat beliau di Phnom Penh pada 2 September 2024.

Pasukan MCM seramai enam orang itu diketuai Presiden, Tuan Haji Zulkifli Wahijan. Hadir sama, Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar serta Exco Tuan Asri Tuan Hussein.

“Kemboja amat popular bagi pelbagai pihak dari Malaysia termasuk NGO untuk melakukan aktiviti kebajikan dan kemanusiaan, lebih-lebih lagi untuk ibadah korban.

“Oleh itu, kami amat mengalu-alukan kedatangan NGO seperti MCM untuk kita berkenalan, bertukar maklumat dan memberi bantuan jika diperlukan,” katanya.

Haji Zulkifli pula berkongsi dengan Tuan Duta mengenai sejarah, latar belakang MCM serta aktiviti dilakukan di Kemboja.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kedutaan atas layanan mesra kepada pasukan MCM.

Sebelum ke pejabat Kedutaan Malaysia, delegasi MCM turut melakukan kunjungan hormat ke atas Mufti Kemboja,

Sahibus Samahah Oknha Haji Kamaruddin Yusof.

Kunjungan ke atas mufti dan Kedutaan Malaysia adalah pelengkap kepada pelbagai aktiviti pasukan MCM yang berada di Kemboja sejak 29 Ogos lalu sebelum berlepas pulang pada 3 September 2024.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia