KECIL TUBUHNYA, BESAR PERJUANGANNYA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
29 August, 2026

Di sebuah rumah di Selayang Mutiara, seorang bayi kecil sedang mengajar erti perjuangan tanpa perlu berkata apa-apa.

Namanya Hadeef Affan bin Khairul Rasyid. Dunia menyambutnya lebih awal daripada yang sepatutnya, hanya tujuh bulan dalam kandungan dan sejak itu, setiap nafas dan setiap suapan menjadi satu titik perjuangan tersendiri. Laryngomalacia. Bronchopulmonary dysplasia (BPD). Dua nama yang berat disebut, lebih berat lagi untuk dilalui seorang bayi.

164 hari Hadeef dibesarkan bukan dalam dakapan ibu di rumah, tetapi di bawah lampu dan mesin Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Selayang. Sebulan lalu, akhirnya beliau pulang. Namun perjuangan itu belum selesai setiap kali lapar, susu masih perlu disalurkan melalui tiub Ryle.

Ahad lalu, Haji Arman Mustafa mewakili Muslim Care Malaysia Society (MCM) hadir menziarahi keluarga ini, membawa bersama sumbangan tiga jenis syringe untuk sedikit meringankan tugas menjaga Hadeef setiap hari.

Bantuan ini mungkin kecil jika dinilai dengan wang, tetapi bagi sebuah keluarga yang berjuang tanpa henti, ia adalah tanda bahawa mereka tidak keseorangan.

Semoga Allah SWT mempermudahkan setiap urusan Hadeef dan keluarganya, serta menguatkan mereka dalam perjalanan yang masih panjang ini.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia