JIWA BESAR ANAK KULAPUAN BIARPUN SERBA KEKURANGAN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
24 August, 2026

Kulapuan, sebuah pulau di perairan Semporna, Sabah yang tidak popular. Bukan seperti Sipadan, Mabul, Kapalai dan Bohey Dulang.

Ini kerana di Kulapuan tidak banyak resort mewah untuk menyambut pelancong, sebaliknya cuma ada kira-kira

100 keluarga nelayan yang menetap di situ.

Bagaimanapun, warga Muslim Care Malaysia (MCM) cukup suka ke pulau itu yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dengan bot dari Semporna.

Ini kerana di situ ada kira-kira 150 kanak-kanak dan remaja yang cukup bersemangat, gigih dan tekun belajar tentang Islam di bawah bimbingan empat ustazah muda anak tempatan, biarpun hidup mereka serba kekurangan.

Pada 19 Ogos 2026 MCM sekali lagi ke Kulapuan. Kali ini bersama 31 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia-Darul Quran (USIM-DQ) untuk melaksanakan Misi Bakti Hufaz.

Biarpun tinggal di pulau kecil yang jauh di pedalaman, anak-anak Kulapuan berjiwa besar. Mereka menyambut kami dengan nyanyian lagu “Atouna El Toufoule” dan sketsa mengenai penderitaan rakyat Palestin.

Persembahan mereka penuh penghayatan kerana ada sebahagian kanak-kanak itu yang mengalirkan air mata ketika beraksi.

Presiden MCM, Haji Zulkifli Wahijan bersama Penasihat Syariah MCM, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kemudian menyampaikan 200 pek makanan kepada penduduk.

Turut diagihkan ialah 150 naskah muqadam Iqraq dan 50 naskah bahan bacaan kanak-kanak yang disumbangkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

Penuntut USIM-DQ pula mengadakan sesi bimbingan kaedah bersuci dan solat secara teori dan amali, selain sesi ramah mesra dengan penduduk kampung.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia