JELAJAH MCM ISU TERKINI PALESTIN DI LABUAN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 June, 2026
Pada 11 & 12 Jun 2026, Muslim Care Malaysia Society telah mengadakan siri roadshow perkongsian “Isu Terkini Palestin” di beberapa lokasi sekitar Labuan sebagai usaha berterusan menyampaikan kefahaman, kesedaran dan semangat solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Program ini membawa tema “Memahami Realiti, Menyemai Solidariti, Membina Harapan”, sebagai seruan agar masyarakat terus cakna terhadap perkembangan semasa Palestin, memahami penderitaan yang sedang berlaku, serta bersama-sama menghidupkan harapan buat saudara-saudara kita yang diuji dengan penindasan dan peperangan.
Siri pertama telah berlangsung pada 11 Jun 2026 selepas Maghrib bertempat di Surau Nurul Islam, Labuan, disampaikan oleh Haji Zulkifli Wahijan, Presiden Muslim Care Malaysia & Ahmad Safuan Ujar, Setiausaha Agung MCM. Perkongsian ini menekankan kepentingan umat Islam untuk terus mempertahankan kesedaran terhadap Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin sebagai tanah suci yang mempunyai kedudukan besar dalam sejarah Islam.
Pada 12 Jun 2026 jam 11.30 pagi, roadshow diteruskan di Surau At-Taqwa, PC Methanol dengan perkongsian oleh Haji Zulkifli Wahijan, Presiden MCM bersama Ustaz Ahmad Syukri, Bendahari MCM. Program ini memberi ruang kepada warga setempat untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi Palestin serta peranan masyarakat Malaysia dalam menyokong usaha kemanusiaan.
Siri roadshow kemudian diteruskan pada malam yang sama, 12 Jun 2026 selepas Maghrib di Masjid Jamek Layangan, disampaikan oleh Haji Zulkifli Wahijan, Presiden MCM, Ustaz Ahmad Syukri, Bendahari MCM dan Ahmad Safuan Ujar, Setiausaha Agung MCM.
Muslim Care Malaysia merakamkan penghargaan kepada pihak surau, masjid, penganjur setempat serta seluruh hadirin yang hadir memberikan sokongan. Semoga setiap usaha kecil ini menjadi asbab untuk menyuburkan kesedaran, mengukuhkan ukhuwah dan menggerakkan lebih ramai insan untuk terus bersama perjuangan Palestin.
Palestin bukan sekadar isu jauh di mata, tetapi amanah iman yang wajib terus hidup di hati umat.