ILMU DAKWAH LAPANGAN YANG BERHARGA DI PULAU MABUL DAN KULAPUAN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
24 August, 2026
Pengalaman yang dikutip di Pulau Mabul dan Pulau Kulapuan, Semporna, Sabah amat berharga kepada 31 penuntut Universiti Sains Malaysia-Darul Quran (USIM-DQ) yang menyertai Misi Bakti Hufaz bersama Muslim Care Malaysia (MCM).
Selaku bakal asatizah dan pendakwah pada masa depan, program yang berlangsung dari 18 hingga 21 Ogos itu mendedahkan mereka kepada ilmu dakwah lapangan dan cabaran sebenar apabila menempuh alam pekerjaan kelak.
“Banyak pendedahan yang saya dapat menerusi program ini. Terima kasih MCM kerana sudi bekerja sama dengan kami,” kata seorang daripada peserta misi, Mior Muhammad Hazim Mior Md Fuad.
Menurut Presiden MCM, Haji Zulkifli Wahijan pula, kolaborasi MCM bersama USIM-DQ memberi manfaat besar kepada anak-anak Pulau Mabul dan Pulau Kulapuan.
“Terutama menerusi bengkel Bersuci dan Solat yang diadakan secara teori dan amali dan disertai kira-kira 300 kanak-kanak dan remaja di dua pulau itu,” katanya.