IFTAR BERSAMA 300 ANAK YATIM, ASNAF (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
17 March, 2026

Alhamdulillah, pada Ahad, 15 Mac 2026, telah berlangsung Majlis Iftar Ramadan yang menghimpunkan lebih 300 orang anak-anak yatim, fakir miskin, asnaf serta waris mereka dalam suasana penuh kasih sayang, kebersamaan dan keberkatan.

Program ini dianjurkan hasil kerjasama Muslim Care Malaysia Society (MCM) dan Surau Al Insaf (SAI), Menara Maybank, dengan sokongan para penaja serta individu yang bermurah hati. Selain menikmati juadah berbuka puasa bersama, para penerima turut disantuni melalui sumbangan tunai, manakala sebahagian waris menerima pek barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban kehidupan menjelang Syawal yang bakal tiba.

Penghargaan setinggi-tingginya dirakamkan kepada Tuan Abdul Basir Ahmad selaku Pengarah Program yang telah bertungkus-lumus mengurus dan menghimpunkan anak-anak yang diraikan dari sekitar Kuala Kedah.

Majlis turut disempurnakan oleh Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi sebagai perasmi, serta dihadiri oleh Haji Rashidi Sheedy, Haji Johari Ismail (Timbalan Presiden MCM), Ahmad Safwan (Setiausaha Agung MCM), Haji Arman Mustafa (Ahli Lembaga Pengarah MCM) bersama beberapa kakitangan MCM.

Senyuman dan keceriaan yang terpancar di wajah anak-anak ini menjadi saksi bahawa setiap huluran kasih para penyumbang bukan sekadar bantuan, tetapi sinar harapan yang menguatkan langkah mereka menempuh hari-hari mendatang.

Sabda Rasulullah ﷺ:

“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang tersebut sedikit pun.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi amal jariah yang berterusan, dilipatgandakan ganjarannya dalam bulan Ramadan yang mulia ini serta menjadi pemberat timbangan kebaikan di akhirat kelak.

Terima kasih kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program penuh rahmah ini. Bersama kita menyemai kasih, menyulam harapan dan mengangkat martabat ummah.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia