IFTAR AMAL MCM SATUKAN UMMAH, KUTIPAN LEBIH RM100,000 UNTUK GAZA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
3 March, 2026

Majlis Iftar Amal Ramadan 2026 anjuran Muslim Care Malaysia Society berjaya menghimpunkan hampir 400 tetamu dalam satu malam yang bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi medan penyatuan ummah dan pengukuhan solidariti terhadap rakyat Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan.

Program yang berlangsung pada 28 Februari 2026 di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, Jalan Gurney itu membawa tema “Menghulur Bahu, Menyulam Harapan, Gaza Tetap Dihati” di bawah kempen Bahu Untuk Gaza. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai tetamu perasmi, selain barisan kepimpinan tertinggi Muslim Care Malaysia Society, wakil-wakil korporat serta rakan strategik NGO.

Sambutan yang amat memberangsangkan menyaksikan hampir 400 tetamu hadir bagi menyatakan komitmen dan tanggungjawab bersama terhadap isu Palestin. Pada malam tersebut sahaja, sumbangan korporat yang direkodkan berjumlah RM60,500, manakala jumlah keseluruhan kutipan termasuk komitmen tambahan dan sumbangan lain melebihi RM100,000.

Majlis dimulakan dengan tilawah al-Quran, diikuti ucapan aluan, ucapan Presiden serta ucapan perasmian oleh tetamu kehormat. Turut diadakan tayangan montaj khas dan sesi penyerahan sumbangan simbolik daripada pihak korporat sebagai tanda sokongan terhadap misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia.

Menambahkan lagi nilai eksklusif dan simbolik pada malam tersebut, turut diadakan jualan lelongan barangan istimewa seperti bingkai kaca kain Kiswah Kaabah, kelambu Kaabah era Othmaniyah serta karpet sejadah Imam Masjidil Haram. Lelongan ini mendapat sambutan hangat daripada para hadirin, dan sebahagian hasil jualannya akan disalurkan ke Tabung Gaza Muslim Care Malaysia bagi menyokong bantuan makanan, perubatan dan keperluan asas kepada rakyat Gaza.

Presiden Muslim Care Malaysia Society, Haji Zulkifli Wahijan, dalam kenyataannya menegaskan bahawa Ramadan adalah bulan tarbiah jiwa dan medan pengukuhan tanggungjawab sosial. Beliau menyatakan bahawa solidariti terhadap Gaza bukan sekadar sentimen, tetapi amanah kemanusiaan yang mesti diterjemahkan melalui tindakan berterusan dan komitmen jangka panjang.

“Ramadan mengajar kita bahawa kepedulian tidak boleh bersifat bermusim. Ketika kita berbuka dalam suasana aman, saudara kita di Gaza masih bergelut dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan. Malam ini membuktikan bahawa ummah di Malaysia tidak pernah memalingkan wajah daripada tanggungjawab tersebut,” ujar beliau.

Majlis diakhiri dengan berbuka puasa, solat berjemaah serta sesi interaksi bersama para tetamu sebelum bersurai pada jam 10.30 malam. Penganjuran ini mengukuhkan mesej bahawa dalam suasana Ramadan yang penuh rahmat, kesatuan dan kepedulian ummah kekal menjadi kekuatan utama dalam membantu saudara-saudara yang terus diuji.




© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia