IBRASPAL DAN MCM BEKERJASAMA BANTU KOMUNITI PALESTIN DI BRAZIL.

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
1 April, 2024

Institut Palestin Brazil (IBRASPAL) sedia bekerjasama dan memberi bimbingan kepada Muslim Care Malaysia-Brazil (MCB) untuk melakukan gerak kerja bagi kepentingan imigran Palestin di Brazil.

Komitmen itu dinyatakan Presiden IBRASPAL, Dr Ahmed Shehada dalam pertemuan dengan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Haji Zulkifli Wahijan dan Pengerusi MCB, Hussein Abu Marzouq di Brasilia, Brazil pada 24 Mac 2024.

MCB adalah subsidiari terkini MCM di luar negara selepas Muslim Care Palestin dan Muslim Care Syria/Turkiye.

Hadir sama dalam pertemuan di ibu pejabat IBRASPAL itu ialah Exco MCM, Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis (IEIJS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Aminuraasyid Yatiban.

IBRASPAL berperanan penting sebagai sumber rujukan mengenai isu Palestin dalam kalangan pemimpin politik dan kerajaan Brazil termasuk Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.

Pertemuan MCM dan IBRASPAL adalah sebahagian daripada aktiviti Misi Dakwah dan Bantuan Ramadan MCM ke Brazil selama 12 hari bermula 15 Mac lalu.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia