HOME2LIVE @ KG.PEKET 20 SUNGAI BESAR, SEBUAH RUMAH SERIBU HARAPAN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
9 December, 2025
Alhamdulillah, pada Ahad, 7 Disember 2025, Muslim Care Malaysia (MCM) telah merasmikan Rumah Home2Live di Kg.Peket 20, Sungai Besar, sebagai simbol kebangkitan semula kehidupan Encik Abd Basir bin Johari, yang memikul amanah menjaga seorang adik OKU sepenuh masa.
Kediaman asal beliau musnah akibat ribut kuat pada tahun 2024. Prihatin terhadap situasi tersebut, sebuah rumah baharu bernilai RM85,000 telah berjaya dibina bagi menyediakan tempat tinggal yang selamat, selesa dan lebih teratur, sekali gus memberi ruang kehidupan yang lebih bermaruah dan tenang untuk beribadah.
Majlis perasmian rumah ini telah disempurnakan oleh Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan, dan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden MCM, Tuan Haji Johari Ismail, bersama Ahli Lembaga Pengarah MCM serta para sukarelawan MCM yang menjadi tonggak kejayaan projek ini.
Encik Abd Basir melahirkan rasa syukur dan terharu, serta merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diterima. Beliau turut menyatakan kegembiraan kerana kini memiliki rumah yang cantik dan selesa, sekali gus memudahkannya menunaikan solat dan menjaga adik dengan lebih baik.
Muslim Care Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang Projek Home2Live, yang telah menjadi asbab terbinanya sebuah rumah dan terpulihnya harapan sebuah keluarga.
Muslim Care Malaysia, Bantuan Kemanusian Merentasi Sempadan,
Tepat Pada Waktunya Tepat Pada Sasaran.