HARUS AGRESIF PAMER SYIAR ISLAM (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
26 August, 2024

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar mahu Muslim Care Malaysia (MCM) lebih agresif menonjolkan syiar dan lambang

agama Islam dalam setiap binaan premis MCM di dalam dan luar negara.

“Kalau agama lain begitu bangga dan agresif mempamerkan lambang agama mereka, kita juga harus begitu. Kita bukan mahu berlawan tapi kita jangan ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Masjid Al Bai’ah, Kampung Pulutan, Nabawan, Sabah pada 21 Ogos 2024.

Masjid berharga RM230,000 itu terbina hasil program kolaborasi Saji Seikhlas Hati FGV Holding Berhad bersama MCM di Nabawan pada September 2023.

Datuk Bungsu berkata beliau berbangga kerana MCM dan FGV memenuhi permintaan disuarakannya ketika acara pecah tanah pada 11 bulan lalu agar Masjid Al Bai’ah dilengkapi kubah.

“Saya masih ingat, ketika majlis pelancaran dulu pelan asal masjid ini tiada kubah. Jadi, saya minta dilengkapi kubah sebagai lambang syiar Islam. Alhamdulillah permintaan itu dipenuhi,” katanya.

Hadir sama pada majlis perasmian Masjid Al Bai’ah ialah Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Pontian United Plantation, Mohd Yusof Abdullah dan Pengurus Hal Ehwal Agama FGV Holdings Berhad, Ustaz Ilyas Helmi.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia